28/12/2021
Tahniah dan syabas diucapkan kepada YBrs Encik Zulhelmi bin Abdullah yang telah dilantik sebagai Ketua Penolong Pegawai Perubatan, KKM merangkap Setiausaha Lembaga Pembantu Perubatan, KKM berkuatkuasa mulai 22 Disember 2021. YBrs En Zulhelmi menggantikan YBrs En Joseph bin Kajangan yang telah bersara wajib pada 29 November 2021.
YBrs En Zulhelmi telah memulakan perkhidmatan di Jabatan Kecemasan, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan di beberapa hospital seperti Hospital Tengku Ampuan Jemaah, Sabak Bernam, Hospital Ampang dan Hospital Sungai Buloh. Beliau dinaikkan pangkat ke Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia di Cawangan Perkhidmatan Penolong Pegawai Perubatan sebagai Ketua Sektor Dasar dan Perancangan Strategik selama lebih 6 tahun. Pada bulan Jun 2021 telah dilantik menjadi Timbalan Ketua Penolong Pegawai Perubatan dan kini dilantik sebagai Ketua Penolong Pegawai Perubatan di mana beliau telah giat terlibat dalam membangunkan Pelan Pembangunan Profesion Penolong Pegawai Perubatan (6P) 2016 -2030 untuk memperkasakan profesion Penolong Pegawai Perubatan di Malaysia seiring dengan halatuju KKM.
Di peringkat antarabangsa beliau dilantik sebagai setiausaha Global Association of Clinical Officer and Physician Associates (GACOPA) selain menganggotai beberapa persatuan seperti Physician Assistant Global Health (PAGH), International Academy of Physician Assistant Educators.(IAPAE) dan Accelerated Medically Trained Clinicians. (AMTC).
Semoga dengan pengalaman yang dimiliki, beliau dapat membawa Profesion Penolong Pegawai Perubatan, Pembantu Perawatan Kesihatan dan Pembantu Hospital Estet ke arah kecemerlangan khususnya dalam membantu negara menghadapi pandemik COVID-19.