04/09/2026
DARIPADA HYDROGEN LAHIR OXYGEN DAN DARIPADA OXYGEN LAHIR AIR
Apabila kita melihat langit malam, sebenarnya kita sedang melihat sejarah yang terlalu panjang untuk dibayangkan. Al-Quran menyebut dalam Surah Al-Anbiya’ 21:30 bahawa langit dan bumi dahulu dalam keadaan yang bercantum, kemudian dipisahkan. Dalam Surah Adh-Dhariyat 51:47 p**a disebut tentang langit yang diluaskan. Sains moden menerangkan bahawa alam semesta bermula daripada keadaan yang amat panas dan padat, kemudian mengembang dan menyejuk.
Selepas alam semesta menyejuk, unsur paling awal yang banyak terbentuk ialah hydrogen, diikuti helium. Di sinilah hydrogen mengambil tempat sebagai salah satu watak utama dalam sejarah kosmos. Hydrogen ialah unsur nombor 1 dalam periodic table, yang paling ringkas, hanya satu proton pada nukleusnya. Tetapi jangan pandang kecil pada unsur yang kecil ini, kerana hydrogen menjadi bahan mentah utama kepada pembentukan bintang-bintang pertama.
Apabila awan hydrogen dan helium berkumpul di bawah tarikan graviti, tekanan dan suhu di pusatnya meningkat sehingga bermulalah nuclear fusion. Hydrogen bergabung membentuk helium dan membebaskan tenaga yang sangat besar. Itulah yang menyebabkan bintang bersinar. Matahari kita juga sedang melakukan proses yang sama pada saat kita membaca tulisan ini.
Tetapi bintang bukan sekadar lampu di langit. Bintang sebenarnya ialah kilang unsur. Dalam bintang yang cukup besar dan panas, proses fusion berterusan menghasilkan unsur yang semakin berat seperti carbon, oxygen, neon, magnesium, silicon dan akhirnya iron. Jadi oxygen yang kita hirup hari ini mempunyai sejarah kosmik, ia dibentuk melalui proses nuklear di dalam bintang generasi terdahulu.
Di sinilah cerita menjadi semakin menarik. Hydrogen yang terbentuk sangat awal dalam alam semesta kemudian bertemu oxygen yang dihasilkan oleh bintang. Apabila dua atom hydrogen bergabung secara kimia dengan satu atom oxygen, terbentuklah H₂O iaitu air.
Maka air yang kita minum sebenarnya membawa dua sejarah berbeza, hydrogen daripada alam semesta awal, dan oxygen daripada “dapur” bintang. Selepas unsur-unsur ini tersebar ke angkasa melalui evolusi dan kematian bintang, bahan tersebut membentuk awan gas, debu kosmik, sistem suria, planet, batuan dan akhirnya lautan.
Daripada air inilah chemistry kehidupan dapat berlangsung. Sel manusia sendiri sebahagian besarnya beroperasi dalam persekitaran berair. Carbon membentuk rangka biomolekul, oxygen membantu respirasi, nitrogen membina protein dan DNA, phosphorus berada dalam ATP, calcium membina tulang, iron membawa oxygen dalam darah, semuanya datang daripada periodic table yang sama.
Jadi periodic table sebenarnya bukan sekadar jadual yang kita hafal semasa sekolah. Ia boleh dibaca sebagai sejarah alam semesta.
Hydrogen datang sangat awal.
Hydrogen menyalakan bintang.
Bintang menghasilkan oxygen.
Hydrogen bertemu oxygen, terbentuk air.
Air menyediakan pentas kepada chemistry kehidupan.
Menarik juga Surah Fussilat 41:11 menyebut langit dalam keadaan “dukhan”, iaitu asap. Kita tidak perlu memaksa ayat ini menjadi istilah fizik moden, tetapi ia memberi ruang untuk kita merenung bahawa penciptaan alam berlaku melalui suatu proses yang tersusun dan bertahap.
Tanpa hydrogen, tiada bintang. Tanpa bintang, tiada oxygen. Tanpa hydrogen dan oxygen, tiada air. Dan tanpa air, tiadalah kehidupan seperti yang kita kenali.
Al-Quran ialah wahyu yang mengajak manusia memerhati langit, bumi dan penciptaan, sains memberi kita satu cara untuk melihat betapa luar biasanya perjalanan daripada alam semesta awal, kepada hydrogen, bintang, oxygen, air dan akhirnya kehidupan.