23/07/2026
Program Chairman’s Executive Visit 2026 telah berlangsung dengan jayanya pada 20 hingga 22 Julai 2026, melibatkan lawatan kerja ke beberapa operasi strategik FGV di Wilayah Utara iaitu MSM Prai Berhad, Ladang Laka Selatan 02, FGV Chuping Agro Valley (FCAV), Ladang Nenering 02, Ladang Tawai 03 dan Ladang Lawin Tengah. Lawatan ini diketuai oleh Pengerusi FGV Holdings Berhad, Datuk Abu Huraira Abu Yazid, bersama Ahli Lembaga Pengarah serta barisan pengurusan kanan Kumpulan FGV.
Di FGV Chuping Agro Valley (FCAV), ketibaan delegasi telah disambut oleh Ts. Abdul Razak Aya, Ketua Pertanian Bersepadu FGV, yang turut menyampaikan taklimat mengenai pelan induk pembangunan FCAV, inisiatif pertanian berteknologi tinggi serta hala tuju kawasan tersebut sebagai hab industri agro dan tenaga boleh diperbaharui. Delegasi turut dibawa melawat tapak projek termasuk pertanian kontrak, rumah hijau berteknologi tinggi, tanaman nanas MD2, jagung bijirin, markisa, Harumanis serta cadangan pembangunan ladang solar dan tenaga angin.
Sepanjang lawatan, delegasi telah diberikan taklimat mengenai prestasi operasi, inisiatif strategik serta peluang pembangunan baharu yang menyokong agenda pertumbuhan mampan FGV. Selain itu, sesi dialog bersama pasukan operasi di lapangan turut diadakan bagi mendapatkan pandangan secara langsung mengenai cabaran, peluang serta penambahbaikan yang boleh dilaksanakan.
Secara keseluruhannya, lawatan ini berjaya memperkukuh hubungan antara Lembaga Pengarah, pihak pengurusan dan warga operasi, di samping meningkatkan pemahaman terhadap pelaksanaan strategi perniagaan serta potensi penciptaan nilai jangka panjang FGV. Program ini turut mencerminkan komitmen FGV dalam memperkukuh kecemerlangan operasi, inovasi dan kelestarian demi memastikan pertumbuhan yang mampan serta berdaya saing pada masa hadapan.