25/04/2026
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Posting kali ini agak panjang. Diharap tuan/puan baca dan fahami betul-betul ya.
Travel dengan ubat-ubatan… khususnya untuk bakal haji Duyufurrahman
Jangan risau..Ikut langkah yang sepatutnya supaya ubat anda terjamin selamat dimakan dan digunakan serta kesihatan anda terjamin. Tips ini bukan je untuk jemaah haji tapi kepada semua pengembara yang ingin melancong baik dalam negara atau luar negara.
Penyimpanan dan pengembaraan dengan ubat anda:
Anda perlu bahagikan ubat anda kepada beberapa bahagian beg untuk tujuan ubat yang segera dan mudah dicapai serta sebagai penyimpanan stok ubat untuk top up atau standby mode.
1.Ubat yang segera dan mudah dicapai - pastikan anda sediakan beg kecil khas (medication pouch) yang kalis air dan diletakkan dalam hand/carry- luggage. Ubat-ubatan ini termasuk:
i. Ubat-ubatan Rutin (Wajib)
Jika anda mempunyai penyakit kronik (i.e Darah tinggi, kencing manis, jantung. Simpan ubat di dalam beg sandang yang dibawa bersama (hand-carry), bukannya di dalam bagasi besar yang ditinggalkan di bawah cuaca panas atau di dalam kargo kapal terbang. Untuk penyakit kronik-pastikan stok mencukupi untuk 45-60 hari. Ini untuk memastikan ubat adalah cukup jika flight anda mungkin terkandas seperti dalam umrah baru-baru ini.
Jangan lupa bawa salinan preskripsi doktor atau kad rawatan sebagai bukti jika diperiksa pihak imigresen.
ii. Ubat Rawatan Bergejala (Over-the-Counter)
Demam & Sakit Badan: Paracetamol (Panadol).
Batuk & Selsema: Tablet ubat batuk, selsema, alahan(Bromhexine, Loratadine atau Cetirizine).
Sakit Perut: Antasid (Gaviscon), ubat cirit-birit (Loperamide), dan garam hidrasi (ORS).
Sakit Tekak: Tablet hisap (Lozenges).
iii. Rawatan Luaran & Kecemasan Kecil
Krim Otot: Deep Heat atau minyak angin untuk lenguh kaki selepas melontar/tawaf bagi jemaah haji.
Pelembap: Vaseline atau krim pelembap (penting untuk mengelakkan kulit pecah/melecet akibat cuaca kering).
Luka Kecil: Plaster (Hansaplast) dan cecair antiseptik.
2.Ubat sebagai penyimpanan stok/untuk top up untuk ubatan harian yang perlu diambil. Ubat ini dismpan dalam check-in luggage/bagasi besar.
Anda hanya boleh meletakkan ubat dalam bagasi besar sekiranya:
i. Ia adalah stok tambahan (backup) selain daripada stok utama yang ada di tangan.
ii. Ubat tersebut bukan jenis sensitif suhu (seperti kain anduh, plaster, atau kapas).
iii. Ubat dalam bentuk cecair yang melebihi 100ml (kerana peraturan cecair dalam kabin), namun untuk ubat-ubatan terkawal, anda biasanya dibenarkan bawa masuk kabin dengan surat doktor.
Tips Penyimpanan Semasa Travel
1.Cuaca di Tanah Suci boleh mencecah suhu yang sangat tinggi. Penyimpanan yang salah boleh merosakkan keberkesanan ubat. Maka,kekalkan pembungkusan asal: Jangan keluarkan ubat dari kepingan aluminium (blister pack) untuk memudahkan pengecaman ubat oleh petugas kesihatan jika berlaku kecemasan.
2.Suhu Bilik yang Stabil: Simpan ubat di dalam beg sandang yang dibawa bersama (hand-carry), bukannya di dalam bagasi besar yang ditinggalkan di bawah cuaca panas atau di dalam kargo kapal terbang.
3.Ubat Cecair/Insulin: Jika anda menggunakan Insulin, pastikan ia disimpan dalam beg pendingin (cooler bag) dengan ice pack yang sesuai.
4.Labelkan dengan Jelas: Pastikan setiap ubat mempunyai label nama ubat dan kegunaannya (contoh: Ubat Selesema - 1 biji sehari).
Info khas untuk Insulin:
~Jangan letakkan insulin dalam bagasi besar (check-in luggage). Suhu di dalam kargo kapal terbang boleh menjadi terlalu sejuk (beku) atau terlalu panas semasa di lapangan terbang.
Pastikan ada:
1.Surat Doktor/Buku rawatan klinik: Sentiasa bawa surat pengesahan doktor yang menyatakan anda perlu membawa insulin dan jarum untuk mengelakkan masalah di pemeriksaan imigresen/kastam.
2.Bekalan Jarum & Swab: Pastikan bekalan jarum (needles) dan alcohol swab mencukupi dan disimpan bersama dalam satu kit yang mudah dicapai.
3.Glucometer:untuk awasi bacaan gula.
~Penyimpanan insulin semasa travel terutama jemaah haji-memerlukan perhatian ekstra kerana cuaca di Arab Saudi yang sangat panas boleh mencecah 40-50 darjah celcius yang mana suhu ini boleh merosakkan protein dalam insulin dengan cepat.
Berikut adalah panduan perbezaan cara simpan mengikut status insulin anda:
1. Insulin yang BELUM Dibuka (Stok Simpanan)
Insulin yang belum digunakan mestilah dikekalkan kualitinya supaya tahan sehingga tarikh luput.
Dalam perjalanan:
Perlu suhu ideal: Mesti disimpan dalam suhu sejuk peti sejuk (2°C hingga 8°C). Maka, semasa dalam perjalanan (Flight/Bas): Gunakan Cooler Bag yang dilengkapi dengan ice pack. Jangan biarkan pen insulin menyentuh secara langsung/terus dengan ice pack (balut dengan kain kecil) kerana jika insulin membeku, ia akan rosak sepenuhnya dan tidak boleh digunakan lagi. Di dalam flight, pastikan anda minta bantuan cabin crew untuk anda serahkan stok insulin yang belum dibuka untuk disimpan dalam chiller dan bukan frozen section. Serahkan juga ice pack anda yang perlu disimpan dalam frozen section bagi tujuan ketahanan suhu ice pack. Ice pack yang tahan beku ini akan digunakan semasa turun flight yang mana kemudiannya untuk dipindahkan insulin tersebut bersama ice pack ke dalam cooler bag yang disimpan dalam hand carry anda.
Jangan lupa, tandakan nama pada insulin anda dengan permanent marker samada pada balutan atau pada pen insulin itu sendiri.
Di Hotel: Sebaik sampai di hotel, segera pindahkan stok ini ke dalam peti sejuk bilik. Pastikan ia tidak diletakkan di bahagian freezer.
2. Insulin yang TELAH Dibuka (Sedang Digunakan)
Insulin yang sedang digunakan biasanya lebih stabil pada suhu bilik, tetapi dengan syarat suhu bilik tersebut tidak ekstrem.
Suhu Ideal: Boleh disimpan pada suhu bilik (bawah 25°C hingga 30°C) dan biasanya tahan selama 28 hingga 42 hari (rujuk label jenama insulin anda).
Semasa Ibadah (Arafah/Mina/Tawaf): Jangan sesekali meninggalkan pen insulin di dalam bas atau beg yang terdedah di bawah matahari. Gunakan beg penyejuk berasaskan air seperti jenama Frio cooler atau insulated pouch kecil. Beg Frio sangat disyorkan untuk jemaah haji kerana ia hanya memerlukan rendaman air sejuk untuk berfungsi tanpa perlu ais. Elakkan Cahaya Matahari: Jangan letak insulin berhampiran tingkap atau kawasan yang terkena cahaya matahari langsung kerana cahaya UV juga boleh merosakkan insulin.
Tanda-Tanda insulin telah rosak:
Jika anda melihat perubahan berikut, jangan gunakan insulin tersebut dan dapatkan bekalan baru di klinik kesihatan Tabung Haji bagi jemaah haji atau farmasi berdekatan anda:
Warna: Berubah menjadi keruh (bagi insulin yang sepatutnya jernih).
Tekstur: Ada mendapan, kepingan putih, atau nampak "berpasir" yang tidak hilang walaupun digolekkan.
Keberkesanan: Bacaan gula dalam darah yang diambil melalui glucometer etap tinggi walaupun dos telah disuntik seperti biasa.
Semoga maklumat ini dapat membantu bakal haji sekalian.
Insya-Allah, saya dan suami akan turut menunaikan haji dari 15/5 hingga 29/6 nanti.
Sama-samalah kita doakan agar dipermudahkanNya segala urusan Duyufurrahman di sana, serta selamat pergi dan selamat pulang.
Aamin YRA.