17/12/2025
KES RAWATAN: PEREMPUAN TUA SLAVIK & KAIN KAFAN
Petang itu kami tiba di rumah pesakit ketika jarum jam hampir cecah pukul empat. Rumah lama.. ada jiran-jiran tapi jauh jaraknya, tidak seperti kejiranan kita rumah teres dibandar ni. Suasana didalam sunyinya lain macam, seolah-olah udara di sekelilingnya berat dan menekan dada. Di ruang dapur yang luas, ahli keluarga dah berkumpul, wajah masing-masing jelas menyimpan resah yang lama dipendam. Resah yang sama.
Kami bertanya secara ringkas apa yang berlaku. Si ibu menarik nafas panjang sebelum mula bercerita. Katanya, kejadian itu berlaku pada satu malam ketika mereka sekeluarga sedang makan di dapur. Gelak tawa masih bersisa, cerita harian bersilih ganti antara anak dan menantu. Tiba-tiba, di hujung tingkap, muncul seorang perempuan tua. Bertudung, berbaju kurung lama—gaya orang-orang dulu. Tudungnya diikat di bawah tengkuk, sedikit rambut putih kelihatan di bahagian hadapan. Gayanya macam perempuan tua slavik rusia. Wajahnya menghadap ke dalam, menjeling tajam dengan pandangan yang sukar ditafsir.
Semua yang ada di dapur menjerit terkejut dan ketakutan. Si ibu mengaku, pada awalnya dia tidak nampak. Dia cuba melangkah ke arah tingkap untuk melihat dengan lebih jelas, namun anak lelakinya memeluk dari belakang sambil merayu, “Mama jangan pergi… jangan mama.” Tangannya ditepis. Baru dua langkah ke hadapan, barulah jelas kelibat itu. Mata perempuan tua itu bukan seperti mata manusia—besar, putih sepenuhnya, tanpa hitam. Urat-urat halus mengelilinginya. Dengan suara yang hampir hilang, si ibu membaca doa sekuat hati. Perempuan tua itu mengangkat tangan, menuding jari ke arah mereka semua, seperti memberi amaran. Kemudian berpaling dan berjalan perlahan sebelum lenyap dalam gelap malam. Sejak malam itu, rumah terasa tidak kena. Ada sesuatu yang ‘menetap’ yang 'memerhati'.
Selesai mendengar kisah tersebut, saya meminta izin untuk membuat scan. Saya bersila, beristighfar, menenangkan diri. Dengan lafaz syahadah, saya angkat tangan kanan, pejam mata, bertafakur. Sekejap sahaja terasa terasing, terasa gelap, sunyi, bening—seolah-olah dunia terhenti. Dalam keheningan itu, kelibat perempuan tua melintas tidak berpakaian. Dia menyebut namanya J******—satu nama yang terhenti di dada saya—lalu hilang. Saya tersentak, seolah-olah baru kembali ke alam nyata. Untuk kepastian, saya panggil seorang perawat lain untuk mengesahkan apa yang saya alami. Jawapannya seiring dengan apa yang saya terima.
Kami membahagikan tugas. Ada yang menyediakan air untuk pengisian, ada yang melakukan cleansing. Ketika bacaan wirid dan Yasin dimulakan, gangguan mula terasa. Seorang ahli keluarga datang menarik tilam tepat di hadapan kami—sedang di atasnya dua orang anak kecil sedang nyenyak tidur,. berguling anak itu.
Dalam hati mula fokus dan fikiran mula terganggu, mereka ini tidak ada perasaan kah?
Kami saling berpandangan tidak bercakap, hairan kerana seolah-olah mereka tidak menyedari apa yang sedang berlaku. Bacaan diteruskan. Tidak lama kemudian, dua lagi ahli keluarga datang, cuba berbual, bertanya itu dan ini. Dalam hati saya tertanya-tanya, tidakkah mereka nampak kami sedang melakukan pengisian? Kami kekalkan fokus, dan mereka berlalu pergi begitu sahaja. Perasaan tidak tenang cuba menyelinap, namun segera saya istighfarkan hati. Bertenang.
Selepas semuanya selesai dan rumah dipagarkan, saya maklumkan kepada keluarga bahawa gangguan itu berpunca daripada sesuatu yang berlaku dalam rumah—bukan dari orang yang disangka. Bukan menantu lelaki yang salah, tetapi isterinya. Saya teruskan "Dalam rumahtangga, izin dan reda suami itu penting, walaupun nampak kecil di mata manusia." Kalau belum bersuami boleh buat keputusan dan urusan sendiri tapi bila dah ada suami kena dapatkan izin dan redha dia." Belum sempat saya menghabiskan penjelasan, beberapa wanita di rumah itu bersuara, membantah, mengatakan ia tidak adil bagi kami orang perempuan, isteri. Saya terdiam. Apa yang saya sampaikan hanyalah sejauh mana ilham yang diizinkan Allah. Tidaklah saya mengetahui kisah sebenar.
Sebelum kami beredar, seorang perawat mendekati saya dan berbisik. Katanya, ketika melakukan 'gerak' tadi, dia diri seolah-olah hilang seketika. Dia merasakan sesuatu keluar dari duburnya. Apabila cuba menariknya, kelihatan kain putih—seperti kain kafan atau lampin bayi. Saya terus melakukan scan ke atasnya. Jelas, dia terkena sihir. Tidak hairanlah rezekinya terasa sempit; urusan perniagaan yang hampir berjaya tiba-tiba terbatal, peluang yang sudah 80% tertutup tanpa sebab jelas.
Berjalan melangkah ke kereta, saya berkongsi satu perkara. Kata saya, "kenapa saya tidak menyebut nama makhluk itu bukan tanpa sebab. Mengetahui nama jin bererti kita mampu menyeru atau memerintahnya. Saya khuatir jika tersalah sebut, ia datang kembali dan mengganggu. Itu ilham yang saya dapat."
Cukuplah rawatan ini diserahkan sepenuhnya kepada izin Allah. Bukan tugas makhluk itu menghukum, walaupun dia merasakan dirinya berhak sebab melihat kesalahan dalam rumah tersebut.
Petang itu kami meninggalkan rumah tersebut dengan satu pengajaran baru—gangguan tidak selalu datang dari luar, dan sihir tidak semestinya kelihatan. Kadangkala, ia berbalut kain putih bersih, tersimpan lama, menunggu saat untuk menampakkan diri. Ibarat sekam dalam padi.
P/S: kisah diubah sedikit bagi menjaga identiti pesakit