24/08/2026
IJN-UTM CEC Perkasa Komuniti Melalui Program BLS
Skudai, 22 Ogos 2026 – Program Kesedaran Basic Life Support (BLS) anjuran IJN-UTM Cardiovascular Engineering Centre (IJN-UTM CEC) telah berjaya dilaksanakan di Kawasan Surau An-Nur, Taman Desa Skudai, dengan kerjasama komuniti setempat serta Pusat Kesihatan UTM.
Program ini mencerminkan komitmen IJN-UTM CEC dalam memperkukuhkan hubungan dan kerjasama bersama komuniti melalui inisiatif khidmat masyarakat, khususnya dalam meningkatkan kesedaran dan pengetahuan berkaitan tindakan awal ketika berdepan situasi kecemasan.
Program telah dilancarkan oleh Pengarah IJN-UTM CEC, Prof. Madya Ir. Dr. Nadia Adrus, yang turut menekankan kepentingan penglibatan masyarakat dalam membina komuniti yang lebih bersedia menghadapi situasi kecemasan.
Kerjasama antara IJN-UTM CEC dan Pusat Kesihatan UTM turut menjadi antara faktor penting dalam menjayakan program ini. Dr. Mohammad Sya'rani bin Najmuddin dari Pusat Kesihatan UTM telah bertindak sebagai pelatih berdaftar bagi menyampaikan latihan dan demonstrasi BLS kepada para peserta.
Sepanjang program, peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat, daripada golongan muda sehingga warga berusia, berpeluang mempelajari kemahiran asas Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) dan penggunaan Automated External Defibrillator (AED). Aktiviti yang dijalankan merangkumi demonstrasi secara langsung, latihan amali (hands-on rotational practice) serta mock drill bagi memberikan pengalaman praktikal kepada peserta.
Selain latihan BLS, program turut menampilkan reruai pameran produk dan inovasi daripada IJN-UTM CEC, manakala Pusat Kesihatan UTM turut menyediakan reruai informasi kesihatan kepada komuniti yang hadir. Penglibatan kedua-dua pusat ini memberikan peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan pendedahan bukan sahaja mengenai kemahiran menyelamatkan nyawa, malah berkaitan perkhidmatan, inovasi dan aspek penjagaan kesihatan.
Sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat membuktikan bahawa usaha mendekati komuniti melalui program pendidikan dan kesedaran kesihatan amat penting. Inisiatif ini diharapkan dapat diteruskan sebagai platform kerjasama antara IJN-UTM CEC, Pusat Kesihatan UTM dan komuniti dalam membina masyarakat yang lebih peka, berpengetahuan dan bersedia menghadapi situasi kecemasan.
Nadia Adrus
Syafiqah Saidin
UTM Institute of Human Centered Engineering
Pusat Kesihatan UTM