09/11/2021
ADAKAH DIBOLEHKAN UNTUK MENGUBUR DUA ATAU LEBIH MAYAT DALAM SATU LIANG LAHAD?
Menguburkan mayat adalah salah satu daripada empat perkara utama dalam pengurusan jenazah, selain memandikan, mengkafankan dan menyolatkan jenazah.
Secara asasnya, setiap mayat WAJIB dikebumikan dalam liang lahad masing-masing. Tidak diperbolehkan untuk menguburkan dua mayat dalam satu liang lahad.
Namun, terdapat situasi tertentu yang mana banyak kematian berlaku serentak, sehingga menyukarkan mayat dikebumikan seperti biasa. Atau, keadaan tanah perkuburan yang sukar untuk digali banyak liang lahad. Jadi, adakah dibolehkan menguburkan mayat lebih dari seorang dalam liang lahad yang sama?
Imam Ar-Rafi'e dalam Asy-Syarhul Kabir menukilkan:
لما روى (أنه صلي الله عليه وسلم قال للانصار يوم أحد احفروا واوسعوا وعمقوا واجعلوا الا ثنين والثلاثة في القبر الواحد...
Bagi barang yang telah diriwayatkan - bahawasanya Nabi Sollallahu Alaihi Wasallam berkata kepada golongan Ansor pada hari Perang Uhud, "galilah (kubur), luaskan dan dalamkan, dan masukkan dua atau tiga jenazah di dalam satu lubang kubur ..."
Berdasakan hadis ini, menguburkan lebih dari satu mayat dalam satu liang lahad pernah berlaku di zaman Baginda Nabi Sollallahu Alaihi Wasallam.
Manakala, dalam kitab Iqna' - sebuah kitab fiqh yang masyhur, banyak dipelajari di pondok-pondok - menyebutkan:
(ولا يدفن اثنان) ابتداء (في قبر واحد) بل يفرد كل ميت بقبر حالة الاختيار للاتباع، فلو جمع اثنان في قبر واحد الجنس كرجلين أو امرأتين كره عند الماوردي وحرم عند السرخسي، ونقله عنه النووي في مجموعه مقتصرا عليه
Dan TIDAK DIPERBOLEHKAN mengubur dua mayat dalam satu liang. Bahkan, dijadikan bersendiri setiap mayat dalam satu kubur ketika waktu ikhtiyar (bukan dharurat), kerana mengikuti (ajaran) Rasulullah Sollallahu Alaihi Wasallam. Maka jika dikumpul dua mayat dalam satu kubur, seperti dua lelaki atau dua perempuan, diMAKRUHkan di sisi Imam Al-Mawardi, dan HARAM di sisi Imam As-Sarkhasi. Dan telah dikutip pendapat haram ini oleh Imam An-Nawawi dalam Majmu'-nya secara ringkas.
Dapat difahami daripada teks di atas, mayat mestilah dikuburkan secara berasingan dalam waktu ikhtiyar. Adapun jika berlaku darurat, seperti kematian yang ramai akibat perang, tsunami dan seumpamanya, maka dibolehkan mengubur lebih dari satu mayat dalam satu liang lahad kerana dharurat.
Juga boleh difahami lagi, haram menguburkan dua mayat yang berlainan jantina secara bersama, kerana dua mayat yang sama jantina pun dimakruhkan oleh Imam Mawardi, dan haram oleh Imam As-Sarkhasi, apatah lagi yang berlainan jantina.
Wallahu'alam.
_________________________________
Disediakan oleh Majlis Ilmu Berkitab.