05/09/2026
PROGRAM SMART CALIPH @ MASJID UTMKL: MENYEMAI KESEDARAN EMOSI DAN KELESTARIAN SEJAK USIA MUDA
KUALA LUMPUR, 4 September 2026 – Kesedaran mengenai kesihatan mental dan kelestarian alam sekitar perlu dipupuk sejak usia muda sebagai asas pembentukan generasi yang sihat, seimbang dan bertanggungjawab. Sehubungan itu, Pusat Kesihatan Universiti (PKU) UTM Kuala Lumpur dengan kerjasama Masjid UTMKL telah menganjurkan Program Smart Caliph @ Masjid UTMKL dengan slot kesihatan yang bertemakan “Taman Emosi Saya”.
Program yang berlangsung dari 9.30 pagi hingga 11.00 pagi ini memberi pendedahan kepada kanak-kanak mengenai kepentingan mengenali, memahami dan mengurus emosi melalui pendekatan yang interaktif dan menyeronokkan.
Pengisian program telah disampaikan oleh Dr Nor Atikah binti Abdul Razak, Pegawai Perubatan PKU UTMKL yang merangkumi aktiviti Kenali Emosi Saya, latihan pernafasan Bunga & Lilin, perkongsian ringkas melalui Formula 4T, serta aktiviti berkebun secara berkumpulan.
Pendekatan unik ini menghubungkan kesihatan mental dengan aktiviti berkebun, di mana peserta berpeluang menanam kangkung menggunakan starter kit masing-masing sebelum meletakkan tanda “My Emotion Garden”. Aktiviti ini bukan sahaja menggalakkan interaksi dan kerjasama, malah memberikan pengalaman secara langsung bahawa emosi juga perlu “ditanam, dijaga dan dipupuk” seperti tumbuhan.
Pendekatan berbentuk pengalaman seperti ini dapat membantu kanak-kanak memahami bahawa menjaga kesihatan bukan sekadar berkaitan kesihatan fizikal, tetapi turut merangkumi kesejahteraan emosi, hubungan sosial dan persekitaran yang sihat.
Program ini turut menyokong usaha membudayakan kelestarian dan gaya hidup sihat dalam kalangan generasi muda, seiring dengan aspirasi pembangunan lestari serta peranan institusi pendidikan dalam membentuk komuniti yang lebih prihatin terhadap kesihatan diri dan alam sekitar.
Melalui inisiatif ini, PKU UTMKL terus memperkukuh peranan sebagai entiti promosi kesihatan dengan membawa mesej kesihatan ke ruang komuniti secara lebih kreatif, inklusif dan dekat dengan golongan sasaran.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak Masjid UTMKL, para fasilitator, urus setia serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Terima kasih juga kepada semua peserta yang telah memberikan kerjasama dan semangat yang luar biasa sepanjang program berlangsung.
Semoga kita berjumpa lagi dalam program akan datang! 💚