28/09/2026
إِنَّا ِلِلَّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
Warga kerja O&G KKM serta seluruh komuniti MyGynae merakamkan ucapan takziah kepada YBhg.Tun Dr. Mahathir Mohamad dan seluruh ahli keluarga atas pemergian Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali.
Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun, jam 9.20 pagi pada 28 September 2026 di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Allahyarhamah dikenang sebagai antara doktor wanita Melayu terawal di Tanah Melayu. Beliau memperoleh ijazah MBBS dari Universiti Malaya (di Singapura pada waktu itu) dan menamatkan pengajian sebagai doktor perubatan pada tahun 1955 sebelum menyertai perkhidmatan kesihatan kerajaan.
Sumbangan Allahyarhamah dalam bidang perubatan, khususnya kesihatan ibu dan anak, adalah luar biasa. Beliau mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama di Malaysia yang berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Jabatan Kesihatan Ibu dan Anak pada tahun 1965. Bagi memperkukuhkan kepakarannya, beliau telah menghadiri program sijil kesihatan awam di Sekolah Kesihatan Awam, Universiti Michigan pada tahun 1966.
Sewaktu berkhidmat di Kedah, beliau sangat aktif mempromosikan kesihatan awam dan kesihatan luar bandar. Beliau menganjurkan pelbagai inisiatif penting, termasuklah meningkatkan kebersihan, menggalakkan gaya hidup sihat, serta menyediakan program imunisasi untuk kanak-kanak.
Dedikasi beliau membawa kepada pelantikan beliau sebagai Pegawai Kesihatan Ibu dan Anak Negeri di Kedah pada tahun 1974, di mana beliau menjadi wanita pertama memegang jawatan tersebut.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Allahyarhamah mencatatkan pencapaian yang menakjubkan apabila berjaya menurunkan kadar kematian bayi (infant mortality rate) secara drastik daripada 75 per 1,000 kepada hanya 6 per 1,000.
Keprihatinan beliau terhadap kesejahteraan wanita turut diterjemahkan melalui penulisannya; beliau merupakan penulis bagi beberapa artikel yang memfokuskan kepada perubatan keluarga serta faktor sosioekonomi yang dikaitkan dengan kehamilan dan kelahiran anak di Malaysia.
Bagi warga O&G KKM, legasi Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah bukan sekadar terpahat pada sejarah dasar kesihatan awam, tetapi pada nilai empati dan dedikasi luar biasa yang ditunjukkannya terhadap nyawa para ibu dan kanak-kanak. Beliau meletakkan asas yang sangat kukuh dalam memastikan kelangsungan dan kesejahteraan wanita di negara ini.
Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarhamah, menerima segala amal baktinya, serta menempatkan beliau di tempat yang mulia dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Terima kasih atas segalanya, Tun.
Negara kehilangan sebutir permata dan seorang "ibu" yang tidak ternilai jasa baktinya.
Al-Fatihah.