12/08/2026
PUSAT TELINGA, PENDENGARAN & PERTUTURAN (HEARS), FAKULTI SAINS KESIHATAN TERIMA SUMBANGAN PERALATAN KLINIKAL BERNILAI RM 315,889.77
Kuala Lumpur, 11 Ogos 2026 – Pusat Telinga, Pendengaran dan Pertuturan (HEARS), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini telah menerima sumbangan peralatan klinikal daripada Medicara Sdn. Bhd., anak syarikat XPERTS.MY melalui Yayasan Wiba Prima yang bernilai keseluruhan RM315,889.77. Sumbangan ini merangkumi pelbagai kelengkapan perubatan dan peralatan sokongan klinikal disumbangkan bagi menyokong keperluan operasi, latihan, pendidikan serta pembangunan kapasiti di Pusat HEARS, FSK dan UKM secara umumnya.
Majlis penyerahan sumbangan tersebut telah berlangsung di Klinik Audiologi & Sains Pertuturan, UKM Jalan Temerloh, Kuala Lumpur. Majlis ringkas tetapi meriah dan sangat bermakna ini telah dihadiri oleh barisan kepimpinan FSK yang diketuai oleh Dekan FSK, Prof Dr. Suzana Shahar, Timbalan Dekan Hal-Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat FSK, Prof. Dr. Zahara Abdul Manaf, Ketua Pentadbiran FSK, Cik Lily Farizon Karim, Ketua Program Audiologi, Prof. Madya Dr. Noor Alaudin Abdul Wahab serta Ketua Program Sains Pertuturan, Dr. Badrulzaman Abdul Hamid, selain ahli pengurusan Pusat HEARS, pensyarah, klinisyen dan pelajar. Yayasan Wiba Prima p**a telah diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya sendiri iaitu Encik Amirul Iskandar Mannan dan beberapa orang wakil pengurusan Yayasan Wiba Prima dan XPERTS.MY.
Majlis dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Ketua Pusat HEARS, Prof. Madya Dr. Cila Umat yang mengalukan kehadiran semua jemputan dan tetamu ke majlis tersebut. Ketua Pusat HEARS dalam ucapan terimakasih beliau atas sumbangan pihak Medicara Sdn. Bhd. melalui Yayasan Wiba Prima menerangkan secara ringkas mengenai aktiviti Pusat HEARS pada masa kini dan menjemput perbincangan lanjut untuk kolaborasi bersama Pusat HEARS. Beliau juga merakamkan ucapan terimakasih kepada semua staff Pusat HEARS dan pelajar yang telah terlibat dalam membuaat persiapan bagi mengadakan majlis tersebut dalam jangkawaktu yang singkat.
Majlis kemudian diteruskan dengan tayangan video korporat FSK UKM serta ucapan oleh Dekan FSK, Prof. Dr. Suzana Shahar. Dekan FSK menyatakan rasa bangga kerana syarikat XPERTS.MY diterajui oleh alumni program Audiologi FSK dan berharap kerjasama bersama pihak Xperts melalui Yayasan Wiba Prima dapat diperkukuh lagi pada masa akan datang dalam pelbagai aspek seperti pembentukan Sijil Profesional khusus untuk masalah komunikasi anak berkeperluan khas yang memerlukan penglibatan pihak industri, pembangunan modal insan melalui tajaan biasiswa pelajar siswazah atau prasiswazah, dan kolaborasi khidmat masyarakat terutamanya dengan Pusat HEARS, program Audiologi, dan program Sains Pertuturan.
Seterusnya, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wiba Prima, Encik Amirul Iskandar Mannan dijemput untuk memberi penerangan ringkas mengenai Yayasan Wiba Prima serta XPERTS.MY dan menyatakan keterbukaan beliau untuk mengadakan kerjasama dengan pihak FSK dalam pelbagai aspek. Cadangan kerjasama ini boleh dimajukan kepada beliau untuk diteliti dan mengadakan perbincangan lanjut.
Kemuncak majlis diserikan dengan simbolik penyerahan sumbangan peralatan klinikal, serta sesi pertukaran hadiah cenderahati dari pihak Yayasan Wiba Prima, Pusat HEARS dan FSK. Ini diikuti dengan sesi bergambar sebagai tanda penghargaan atas sokongan yang diberikan. Para tetamu kemudiannya berkesempatan mengadakan lawatan ke Klinik Audiologi & Sains Pertuturan serta Unit TUTUR UKM bagi melihat kemudahan serta perkhidmatan yang disediakan di fasiliti tersebut sebelum diakhiri dengan jamuan makan tengahari.