07/08/2026
KES PENDERMAAN ORGAN KE-7 TERENGGANU 2026
Alhamdulillah, dengan penuh insaf dan bersyukur, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) berbesar hati kerana dapat merialisasikan kes pendermaan organ ke-7 bagi tahun 2026, sekali gus mencatat kes pendermaan injap jantung (heart valve) yang pertama di negeri ini pada tahun 2026 ini.
Peluang ini bermula apabila keluarga allahyarham ROMAIZAM BINTI MARZUAN memilih untuk menghormati ikrar pendermaan yang telah dibuat semasa hayatnya, selaras dengan semangat “Warisku Hormati Ikrarku”.
Hasil penghormatan tersebut, kedua-dua buah pinggang, hati, kedua-dua kornea, injap jantung, kulit serta tulang berjaya didermakan, manakala jantung dan paru-paru tidak dapat didermakan atas faktor penilaian klinikal.
Proses perolehan organ dan tisu ini melibatkan kerjasama bersepadu pelbagai pasukan perubatan dan agensi berkaitan dalam memastikan amanah penderma dapat disempurnakan dengan penuh penghormatan, profesionalisme dan kasih sayang.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada keluarga penderma atas keikhlasan dan pengorbanan mereka. Semoga kebaikan ini menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk memahami kepentingan pendermaan organ sebagai satu legasi kehidupan yang mampu menyelamatkan ramai pesakit.
Marilah sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah dan semoga roh arwah termasuk dalam golongan orang yang beriman dan dicucuri rahmah.