27/08/2026
Bengkel Penggunaan AED Tingkat Kesiapsiagaan Staf Kampus Kejuruteraan USM
NIBONG TEBAL, 27 Ogos – Unit Kesihatan Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Bengkel Penggunaan Automated External Defibrillator (AED) dan Asas Rawatan Kecemasan yang berlangsung sepanjang empat siri sepanjang bulan Ogos di Bilik Persidangan Unit Kesihatan kampus berkenaan.
Program latihan praktikal ini berjaya menghimpunkan seramai 55 orang peserta yang terdiri daripada staf Jabatan Keselamatan serta Jabatan Pentadbiran. Penganjuran bengkel ini bertujuan untuk melatih dan meningkatkan kemahiran staf terhadap teknik penggunaan peranti AED secara betul, di samping mendedahkan mereka kepada tatacara asas rawatan kecemasan ketika berdepan situasi kritikal di persekitaran kampus.
Langkah ini dilihat amat bertepatan dalam memastikan warga kerja keselamatan dan pentadbiran sentiasa siap sedia bertindak sebagai perawat awal (first responder) sekiranya berlaku kes kecemasan atau kemalangan yang memerlukan bantuan serta-merta sebelum ketibaan pasukan perubatan.
Melalui penganjuran empat siri latihan tersebut, para peserta telah didedahkan dengan sesi teori dan simulasi amali merangkumi teknik Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) serta pengendalian mesin AED secara selamat dan berkesan. Pendekatan secara amali dan interaktif ini membolehkan setiap peserta menguasai langkah-langkah menyelamat dengan yakin.
Pihak penganjur berharap agar pendedahan berterusan seperti ini dapat melahirkan lebih ramai warga kampus yang berpengetahuan tinggi dalam aspek pertolongan cemas, sekali gus mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan responsif di USM.
Disediakan oleh – Dr. Miqdad Danial