21/05/2026
Bila Agaknya Masa Untuk Menggantikan Lutut Anda?
Berikut ialah tujuh sebab mengapa anda perlu mempertimbangkan pembedahan penggantian lutut:
Pilihan Rawatan Tanpa Pembedahan Tidak Lagi Berkesan
Pada peringkat awal masalah sakit lutut mungkin boleh dilegakan dengan mengambil ubat tahan sakit atau menyapu krim panas atau krim NSAID atau krim mengurangkan sakit. Manakala, jika anda menghidap artritis lutut atau masalah lain, anda mungkin akan bermula dengan langkah yang lebih konservatif seperti fisioterapi, suntikan kortison, ubat-ubatan, atau penurunan berat badan untuk mengurangkan simptom. Namun, pada satu tahap, semua ini mungkin tidak lagi mencukupi.
Sakit Lutut Anda Semakin Teruk dan Kerap Berlaku
Sakit kronik atau berterusan ialah salah satu sebab paling biasa untuk menjalani pembedahan. Ini boleh disebabkan oleh artritis, koyakan ligamen dan juga taji tulang. Jika sakit lutut anda semakin teruk dari semasa ke semasa atau semakin kerap berlaku, ini mungkin petanda bahawa sudah tiba masanya untuk mempertimbangkan pembedahan penggantian lutut.
Setiap orang merasai kesakitan secara berbeza, tetapi terdapat beberapa jenis kesakitan yang biasa dan perlu diberi perhatian, termasuk:
- Sakit lutut yang berlanjutan lebih daripada beberapa minggu
- Sakit lutut yang menyebabkan tidak boleh tidor
- Lutut terasa sakit semasa dan selepas bersenam
- Sakit lutut yang tidak berkurang dengan ubat
- Sakit lutut yang menjadi lebih teruk ketika cuaca lembap atau sejuk
Kesakitan Anda Berlaku Akibat Geseran Tulang dengan Tulang
Osteoartritis lutut biasanya menyebabkan kesakitan akibat geseran tulang dengan tulang, yang berlaku apabila rawan yang melindungi tulang kaki daripada bergesel sesama sendiri mula rosak. Untuk mengenal pasti punca kesakitan ini, doktor perlu memeriksa lutut dan mengambil sinar-X pada sendi bagi memastikan ketidakselesaan itu bukan berpunca daripada masalah lain yang mungkin tidak dapat diselesaikan dengan pembedahan penggantian lutut.
Sesetengah individu yang sangat aktif semasa muda mengalami artritis lutut, manakala yang lain dengan gaya hidup aktif yang sama tidak mengalaminya. Sebaliknya, ada juga individu yang kurang aktif mengalami masalah lutut sedangkan yang lain tidak.
Risiko sakit lutut mungkin berpunca daripada gabungan faktor genetik, tahap aktiviti dan sejarah kecederaan lutut sebelum ini, yang diketahui meningkatkan risiko artritis. Obesiti atau berat badan berlebihan juga merupakan faktor risiko penting. Berat badan memberi kesan besar terhadap beban yang perlu ditanggung oleh sendi lutut dan boleh meningkatkan kadar kehausan rawan.
Lutut Anda Bengkak
Bengkak ialah satu lagi tanda bahawa lutut anda tidak memberi respons terhadap rawatan lain. Rawan membantu melindungi lutut daripada tekanan dan geseran akibat berjalan dan bergerak. Keadaan seperti osteoartritis lutut boleh menyebabkan rawan di sekitar lutut haus. Artritis menyebabkan kesakitan dan keradangan. Apabila lutut mengalami keradangan, ia boleh membengkak.
Lutut yang sentiasa bengkak walaupun selepas penggunaan ubat anti-radang, suntikan steroid dan fisioterapi menunjukkan kemungkinan kerosakan rawan dan/atau ketidakstabilan lutut, yang boleh disahkan melalui X-Ray.
Aktiviti Harian Anda Terganggu
Kesukaran melakukan aktiviti harian akibat sakit lutut yang berterusan bukanlah perkara normal. Jika anda menghadapi kesukaran untuk berpakaian atau membuang sampah walaupun sudah mengambil ubat tahan sakit, anda mungkin memerlukan rawatan yang lebih intensif.
Kita semua akan menjadi sedikit perlahan apabila meningkat usia. Tetapi sakit lutut tidak sepatutnya menghalang anda daripada melakukan aktiviti yang anda gemari.
Pergerakan Anda Menjadi Semakin Terhad
Kehilangan sedikit fleksibiliti sendi apabila usia meningkat adalah normal. Tetapi kekakuan lutut yang berterusan sehingga menjejaskan pergerakan boleh menjadi tanda masalah lutut yang lebih serius. Jika anda mengalami sakit lutut dan tidak dapat melakukan sesetengah aktiviti disebabkan olehnya, maka pembedahan penggantian lutut mungkin sesuai untuk anda.
Satu perkara penting yang perlu diingat ialah kehilangan pergerakan bukan sahaja menjejaskan keupayaan anda untuk bergerak, tetapi juga boleh menyebabkan peningkatan ketidakaktifan. Semakin kurang anda bergerak, semakin banyak fungsi sendi dan kekuatan otot boleh merosot. Menunggu sehingga terlalu banyak kekuatan dan fungsi hilang boleh menyebabkan anda tidak mendapat hasil maksimum daripada penggantian lutut kerana tubuh anda mungkin tidak dapat pulih dengan baik.
Lutut Anda Menjadi Cacat atau Berubah Bentuk
Jika artritis anda sudah berada pada tahap lanjut, ia boleh menjejaskan cara anda berjalan dan seterusnya menyebabkan masalah lain pada tubuh anda. Apabila artritis semakin teruk, lutut boleh menjadi bengkok atau berpintal. Jika kecacatan seperti ini berkembang dari semasa ke semasa, penggantian lutut mungkin merupakan pilihan terbaik. Selain itu, individu yang mengalami artritis juga mungkin kehilangan keupayaan untuk meluruskan lutut mereka. Jika ini berlaku, anda perlu mendapatkan penilaian daripada pakar bedah ortopedik kerana kehilangan pergerakan ini mungkin kekal.
Artikel di atas telah diterjemahkan dari
Knee replacement surgery is one of the most common and most successful procedures in all of medicine.