23/04/2026
𝐔𝐍𝐈𝐒𝐄𝐋 𝐒𝐄𝐌𝐀𝐑𝐀𝐊𝐊𝐀𝐍 𝐁𝐔𝐃𝐀𝐘𝐀 𝐈𝐋𝐌𝐔 𝐌𝐄𝐍𝐄𝐑𝐔𝐒𝐈 𝐏𝐑𝐎𝐆𝐑𝐀𝐌 𝐉𝐎𝐌 𝐁𝐀𝐂𝐀 𝐁𝐄𝐑𝐒𝐀𝐌𝐀 𝟏𝟎 𝐌𝐈𝐍𝐈𝐓
Universiti Selangor (UNISEL) terus memperkukuh agenda pembudayaan ilmu apabila menganjurkan program Jom Baca Bersama 10 Minit sempena sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia, hari ini di Bilik Seminar Siddiq Fadzil, Perpustakaan UNISEL Kampus Bestari Jaya.
Program anjuran Perpustakaan UNISEL dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial (FPSS) ini merupakan sebahagian daripada inisiatif nasional yang digerakkan oleh melalui Kempen Membaca Kebangsaan: Membaca Membina Bangsa.
Bermula tepat jam 11.00 pagi, warga kampus termasuk pelajar, pensyarah dan staf mengambil bahagian secara serentak di lokasi masing-masing dengan meluangkan masa selama 10 minit untuk membaca bahan pilihan tak kiralah sumber daripada buku ilmiah, novel sehinggalah bahan digital.
Menurut Prof. Madya Dr. Fridelina Sjahrir, Timbalan Naib Canselor Akademik & Penyelidikan UNISEL, kempen ini dilihat sebagai satu platform strategik dalam membudayakan amalan membaca secara konsisten dalam kalangan warga universiti.
“Usaha ini bukan sekadar simbolik, tetapi satu langkah berterusan untuk menyemai tabiat membaca sebagai gaya hidup. Kita mahu melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga berfikiran kritis, luas pengetahuan serta berdaya saing,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Perpustakaan, En. Hafiz Bin Abdul Rahim turut menegaskan bahawa peranan pihak Perpustakaan akan sentiasa menambah baik kemudahan serta memperkasa perkhidmatan agar lebih relevan, kondusif dan memenuhi keperluan warga kampus.
Program ini juga diserikan dengan pelbagai aktiviti sampingan seperti Bicara Buku, Bicara Santai, kuiz interaktif serta sesi fotografi kreatif yang berjaya menarik minat penyertaan dalam kalangan pelajar. Malah, penyediaan e-sijil turut menjadi galakan tambahan kepada peserta untuk menyertai program seumpama ini.
Kempen membaca selama 10 minit sehari yang diketengahkan ini selari dengan aspirasi nasional untuk melahirkan masyarakat berbudaya ilmu dan mencapai status negara pembaca menjelang tahun 2030.
Sebagai simbolik penutup, seluruh warga UNISEL bersama-sama meluangkan 10 minit terakhir dengan membaca dalam suasana penuh fokus dan harmoni, ini membuktikan bahawa perubahan besar mampu bermula dengan langkah kecil yang konsisten.
Program ini jelas mencerminkan komitmen UNISEL dalam memperkasa budaya membaca serta menyokong agenda pembangunan modal insan berilmu di Malaysia.
PEJABAT KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI SELANGOR
23 April 2026